ZON SELESA DAN ZON TIDAK SELESA
Sejak tadi, saya teringat satu ayat berbaur motivasi berbunyi,"jika anda senantiasa melakukan perkara yang sama berserta kaedah yang sama, maka anda akan mendapat hasil yang sama". Bagi tujuan perbincangan yang lebih mendalam, saya mengklasifikasikannya kepada satu fahaman dan amalan hidup yang terikat kepada keselesaan (zon selesa) baik secara psikologi, sosial, kerjaya, amalan seharian, sikap, tingkah laku, etika pemakaian dan seumpamanya. Kebanyakan dari kita, secara sedar atau tidak, TERLALU TERIKAT DENGAN KESELESAAN. Maka kemungkinan besar, hasilnya juga sama. Apakata, kita CUBA tinggalkan sejenak persoalan keselesaan ini dalam situasi yang lebih positif untuk menikmati hasil yang berbeza. Sememangnya saya akui, keselesaan amat pentiing, namun sedar atau tidak dalam keadaan yang tertentu, keselesaan ini perlu dikurangkan demi meraih sesuatu yang janggal secara totalnya, namun mungkin idealnya terkesan ke seluruh pelusuk hati kita.
Menyentuh perihal ini, teringat saya pada pengalaman lepas ketika bersama-sama melanjutkan pengajian di Melbourne, Australia bersama suami tercinta. Ekoran bidang pengkhususan dan Universiti yang berbeza, maka suami yang telah bertapak lebih awal dari saya telah menyewa sebuah rumah yang serba lengkap di sebuah kawasan bernama ‘Churchill’ iaitu berhampiran dengan Monash University, Gippsland Campus. Tindakan itu secara rasionalnya adalah yang terbaik buat beliau pada masa dan ketika itu. Apa tidaknya, dengan jarak yang kurang dari 5 minit dengan menaiki kereta merupakan jarak yang paling ideal untuk beliau. Namun, keadaan berubah apabila saya turut mengikut jejaknya menyambung pengajian di sana. Memandangkan jarak tempat tinggal kami di Churchill, iaitu di daerah Gippsland dengan tempat pengajian saya di LaTrobe University, Bundoora Campus terlalu jauh, maka saya pada mulanya agak cuak untuk mengharungi liku-liku hidup yang sungguh mencabar.
Bayangkanlah, dengan jarak yang sebegitu jauh, mengambil masa lebih kurang 6 jam pergi balik iaitu 3 jam untuk perjalanan pergi dan mungkin tempoh masa menjadi lebih panjang bergantung kepada ketepatan masa mengejar pengangkutan awam. Almaklumlah, di Negara serba moden itu, segalanya berlaku terlalu pantas ibaratnya terlewat seminit, terpaksa menunggu untuk 30 hingga 45 minit kemudian. Keadaan ini disebabkan kawasan yang didiami kami pada ketika itu sangat jauh dari Melbourne City. Maka perkhidmatan keretapi terpantas di sana hanya akan lemewati Morwell Station setiap 30 minit. Bagi menjelaskan tempoh masa serta jarak yang terpaksa saya lalui itu, maka saya hanya mampu memberi gambaran sebenar secara ringkas dike sempatan ini. Memulakan pengajian di sana dengan kursus jangka pendek selama 15 minggu tanpa henti bermula jam 11 pagi hingga 5 petang, maka saya perlu mengharungi segala bentuk cabaran meski ianya adalah hari kedua ketibaan saya di Melbourne. Kursus tersebut bemula pada bulan November 2008 dan ianya merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna buat saya memandangkan kursus sebenar dalam bidang Sarjana Pendidikan Dewasa hanya akan bermula pada Februari 2009. Justeru berdasarkan inisiatif sendiri demi memperkukuhkan ilmu di dada serta bertujuan untuk mematangkan diri dengan keadaan persekitaran, maka kursus jangka pendek yang bernilai lebih kurang RM 20,000.00 (tidak termasuk kos lain yang terlibat) sanggup saya daftarkan atas pembiayaan sendiri kerana biasiswa UPM bagi kursus peringkat Sarjana hanya akan bermula pada Februari 2009.
Dipendekkan cerita, seawal jam 5.00 pagi waktu Melbourne, saya telahpun bangun dan menyiapkan diri bagi tujuan perjalanan ke universiti. Perkara asas yang menjadi rutin saya ialah menyediakan sarapan dan lauk- pauk untuk makan tengahari buat suami dan anak (Puteri Sulong yang ketika itu baru berusia dua tahun 11 bulan). Selesai segalanya, perjalanan harian saya bermula ditemani suami tercinta ke stesen keretapi Morwell iaitu kira-kira 15 kilometer dari rumah. Ketepatan masa adalah wajib memandangkan satu-satunya keretapi yang merentas sempadan ‘Country Side- Gippsland’ ke Melbourne City ialah jalinan terpantas V-line Train. Perjalanan dari Morwell ke Melbourne city mengambil masa lebih kurang 2 jam. Setibanya di Flinders Street, saya perlu bergegas mendapatkan Tram (jenis pengangkutan berbentuk fizikal seperti bas tetapi menggunakan tenaga elektrik yang dilengkapi dengan sistem landasan khas di atas jalan raya biasa).
Perjalanan tidak habis di situ, di mana saya perlu turun di Lonsdale Street untuk mendapatkan Bas yang secara terus ke LaTrobe University, Bundoora. Ditekankan di sini, segalanya perlu tepat dan lancar. Jika tidak, saya pasti akan terlewat ke kelas. Bayangkanlah, segalanya perlu diharungi sebaik mungkin meski saya baru sahaja berpijak di bumi Melbourne. Kebiasaannya, saya akan selamat tiba di universiti 10 hingga 15 minit awal daripada waktu kuliah dan ini memerlukan saya berjalan sepantas mungkin dari hentian utama universiti ke bilik kuliah. Pendek kata, tiada langsung perasaan untuk bertangguh malahan yang terpacul di minda ialah perasaan untuk hadir ke kuliah tepat pada masanya.Bermula jam 11.00 pagi sehingga jam 5.00 petang, kuliah berlangsung tanpa henti. Apa tidaknya, kursus jangka pendek itu merupakan kursus insentif untuk memantapkan lagi keupayaan dan kemahiran saya dalam bidang penulisan iaitu penulisan ilmiah. Sekali lagi, masa amat mencemburui saya di mana waktu rehat yang diberikan itu digunakan untuk saya menunaikan Hukum Islam yang pertama iaitu Solat 5 waktu. Alhamdulillah, segalanya masih berlangsung seikhlas hati dan syukur juga kerana LaTrobe University, Bundoora sememangnya menyediakan kemudahan bilik solat kepada Pelajar Antarabangsa yang beragama Islam.
Diringkaskan cerita, tamat sahaja kuliah, saya bersama rakan baik saya iaitu Trang (dari Vietnam yang terus rapat bermula pada kali pertama kami bertemu) akan bergegas pulang ke Melbourne City. Masing-masing menghadapi konflik yang sama iaitu jarak yang sangat jauh, malahan terlampau jauh sehinggakan pensyarah saya pada ketika itu Dr. Sudharma Gajendra juga terkejut mendengarkan rintihan kami. Beliau yang pada hari pertama kelihatan mesra sempat menawarkan saya untuk tinggal bersama-sama dengannya memandangkan suaminya bertugas di tempat lain. Namun saya menolak tawarannya secara baik memandangkan saya dan suami bercadang untuk berpindah ke tempat lain yang lebih efektif buat kami berdua sejurus selepas saya menamatkan kursus jangka pendek itu.
Perjalanan pulang hampir sama dengan sebelah paginya. Cuma yang mungkin berbeza sedikit ialah saya tidak lagi terlalu tertekan dengan pengangkutan awam iaitu masih boleh bertenang memandangkan tidak terikat dengan jadual yang khas. Pun begitu, saya masih lagi berusaha memastikan saya dapat mengejar V-line Train ke Morwell Train Station yang paling awal supaya dapat pulang ke rumah seawal mungkin. Paling awal, saya hanya akan selamat tiba di Morwell pada jam 8.30 malam dan tiba di rumah hampir jam 9.00 malam. Bayangkanlah, jikalau anda berada di tempat saya di mana setibanya di rumah, saya menyediakan makan malam buat suami dan si kecil. Namun syukur kerana peranan suami tercinta juga amat besar dengan mengambil inisiatif menjaga si kecil sehingga membawanya bersama ke pejabatnya di Monash University, Gippsland memandangkan beliau juga sedang melanjutkan pengajiannya di peringkat Ijazah Kedoktoran Undang-Undang. Sehingga ke hari ini, saya seakan tidak percaya bahawa saya mampu mengharungi segalanya sebaik mungkin sehingga dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Pelajar terbaik bagi kursus jangka pendek itu. Dalam tempoh masa selama 15 minggu itu, saya mengharungi segalanya tanpa mampu mengatakan ‘tidak’. Nekad saya pada ketika itu, saya seronok melakukannya dan saya yakin saya mampu melakukannya. Seperti ada satu kuasa yang menyuntik semangat saya itu, tidak lain melainkan kepercayaan kepada Yang Maha Esa.
Berdasarkan pengalaman tadi, saya cukup optimis dan akur bahawa ianya telah memberi satu impak yang sangat besar dalam diri saya iaitu dalam membiasakan diri dengan zon yang tidak selesa. Berikut merupakan himpunan bebanan perasaan yang saya alami apabila terpaksa mambiasakan diri dengan zon yang tidak selesa sehingga akhirnya saya sedar bahawa keselesaan itu mampu dicapai dalam sekelip mata apabila setiap ruang kecerdasan mental ini dibuka tanpa batasan.
Gangguan Perasaan pada peringkat awal
- Takut
- Tertanya-tanya
- Risau dan khuatir akan keselamatan diri
- Bimbang jika sesat
- Masalah pergaulan
- Desakan dalaman
- Konflik diri, rasa asing dan kekok
- Cemas dan kadangkala tiada perasaan langsung
- Keterpaksaan
Tindakan yang diambil pada peringkat pertengahan
- Cabar diri
- Yakin boleh
- Memahirkan diri dengan jadual perjalanan seperti tarikh, masa dan stesen-stesen keretapi/ bas/ tram dan juga peta yang berkenaan (Syukur kerana kualiti perkhimatan pengangkutan awam di Melbourne malahan keseluruhan kawasan di Australia sangat lancar. Namun sebagai perantau yang masih baru, kepantasan di sana menuntut saya supaya terlalu berhati-hati serta peka).
- Memerhati keadaan persekitaran termasuk orang di sekeliling, masyarakat amnya, kemudahan yang ada, nilai-nilai yang terzahir di luar, corak gaya komunikasi, budaya serta kemahiran silang budaya, dan seumpamanya).
- Memberanikan diri untuk bertanya segala bentuk pertanyaan tentang perkara-perkara berkaitan.
- Membiasakan diri dengan budaya di sana iaitu murah dengan senyuman serta budi bahasa (meski ada yang mungkin tidak percaya walhal budaya di sana sangat tinggi dan halus).
- Membiasakan diri dengan keadaan cuaca yang tidak menentu tambahan pula di musim sejuknya yang kebiasaannya mencecah -3 darjah celcius.
KASIHNYA ALLAH
PADA KITA
"Allah tak pernah
"Allah tak pernah
janjikan LANGIT
selalu BIRU, JALAN
hidup tanpa BATU,
MATAHARI tanpa HUJAN, KEBAHAGIAAN
tanpa KESEDIHAN, KEJAYAAN tanpa
PERJUANGAN...Tapi Allah janjikan KEMUDAHAN bersama
KESULITAN, RAHMAT dalam UJIAN,
GANJARAN buat KESABARAN,
KETEGUHAN dalam PERJUANGAN..
Bukankah INDAHnya PELANGI baru kita
rasakan setelah turunnya HUJAN...?
No comments:
Post a Comment