Monday 24 October 2011

MEREKALAH ORANG-ORANG HEBAT ITU! MAKA SAYA JUGA TERSENARAI













MEREKALAH ORANG- ORANG HEBAT ITU! MAKA SAYA JUGA TERSENARAI
Satu perkara yang perlu ditegaskan di sini ialah, kebanyakan individu tersohor di mata dunia adalah mereka yang memakai perisai diri (pertahanan diri- metafora) daripada musuh-musuh kecil tetapi amat berkuasa dalam diri. Setiap daripada mereka (individu tersohor) ini mampu berhadapan dengan halangan dalam diri ataupun juga konflik dalaman semata-mata membentuk satu empayar kehebatan mereka dalam pelbagai aspek kehidupan. Bercakap tentang individu tersohor ini, siapa tidak kenal dengan Oprah Winfrey? Pengacara paling popular di dunia yang mampu menggegarkan dunia hiburan pada setiap kali kemunculannya samaada menerusi program hebat bual bicaranya seperti “The Oprah Winfrey Show”, mahupun kemunculannya di mana-mana program secara langsung atau tidak. Pengalaman peribadi saya sepanjang berada di Melbourne, Australia ialah kemunculan Oprah di bumi Australia, iaitu Melbourne City pada tanggal 10 Disember 2010 (Herald Sun, 2010). Kehadiran beliau menjadi satu fenomena apabila persekitaran Kota Melbourne iaitu di sekitar Flinders Street menjadi sesak, dengan dibanjiri lebih kurang 50 000 orang lautan manusia. Saya yang pada ketika itu agak sibuk dengan urusan pengajian saya, serta juga dalam proses adaptasi diri atas kelahiran anak kedua, terasa terpanggil-panggil untuk turut serta dalam gelombang fenomena itu. Lebih tepat lagi, fenomena itu dipanggil “Oprah-Mania”. Namun hasrat itu terpaksa dibatalkan atas pertimbangan keselamatan dan kesihatan serta izin dari suami tercinta.

Memandangkan hasrat hati terpaksa dibatalkan, maka saya mula bertanya pada diri, ‘di manakah hebatnya Oprah ini?’ Namun apa yang anehnya, itulah dia Oprah Winfrey yang menjadi kegilaan ramai orang, bukan hanya dalam kalangan orang kebanyakan, tetapi juga selebriti dunia yang tersohor turut menggilainya. Jika dilihat dari segi latar belakangnya, tiada apa yang perlu dibanggakan dengan beliau. Merujuk kepada Oprah Winfrey's Official Biography, Oprah Winfrey atau nama penuhnya Oprah Gail Winfrey, lahir pada tanggal 29 Januari, 1954 dalam sebuah keluarga biasa di Kosciusko, Mississippi, Amerika Syarikat. Seorang wanita berkulit hitam yang pada asasnya datang dari kaum minoriti di Amerika Syarikat, berbadan gempal dan tidak menarik dari segi bentuk fizikalnya, namun lantang bersuara dan petah berbicara,  Secara logic dan idealnya, setiap apa yang dimiliki beliau merupakan perkara biasa yang turut dimiliki oleh berjuta lagi orang di dunia ini. Tetapi persoalan itu tidak terhenti di situ sahaja. Bagai ada sesuatu kuasa yang menarik kita padanya.
Seorang lagi tokoh hebat yang menarik perhatian saya ialah Mark Zuckerberg. Mungkin pada mereka yang senantiasa mengikuti kecanggihan internet mulai tersenyum dengan tokoh ini. Atau mungkin juga, berjuta lagi orang di luar sana yang terlepas pandang tentang siapakah pengasas sebenar laman sosial dirinya iaitu muka buku meskipun dewasa ini mereka terlalu asyik dengan ledakan dunia informasi itu. Zamris (2009) menyatakan bahawa kelahiran era baru dalam dunia informasi telah merubah pola komunikasi masyarakat, Hal ini disebabkan oleh penemuan baru di bidang teknologi komunikasi. Justeru, Facebook ataupun Muka Buku ini merupakan salah satu hasil ciptaan dalam perkembangan dunia teknologi hari ini yang ternyata memberi impak yang sangat besar kepada masyarakat dunia jika digunakan sebaik mungkin mengikut norma-norma masyarakat yang luhur.
Menyentuh tentang pengasasnya dan juga CEO of Facebook iaitu Mark Zuckerberg, ternyata daya imaginasi dan kecerdasan mental dan kognitif yang dimilkinya tiada tandingan. Beliau yang dikatakan telah memulakan projek ini bersama dua (2) orang rakan sebiliknya iaitu Dustin Moskovitz dan Chris Hughes, bermula tahun 2004. Zuckerberg dilaporkan telah melanjutkan pengajian di Harvard University dalam bidang Sains Komputer sebelum mengasaskan facebook. Semasa berada di Harvard, Zuckerberg telah mereka cipta satu program dikenali sebagai Facemash, iaitu sebuah laman yang memuatkan foto-foto pelajar di kolejnya dengan membuat perbandingan samaada foto berkenaan dikategorikan sebagai HOT or NOT. Disebabkan laman ciptaannya itu, pihak pentadbiran Harvard ternyata tidak bersetuju dengan tindakannya itu, maka beliau telah dikenakan tindakan disiplin. Dalam tempoh 3 bulan selepas itu, beliau telah merasmikan laman sosial facebook dan akhirnya laman itu diterima pakai sehingga ke hari ini.  Beliau akhirnya telah dinobatkan sebagai penerima anugerah ‘Best Startup CEO’ dan juga berjaya dikategorikan sebagai ‘The Time Magazine 2010 Person of The Year’.
Tokoh seterusnya ialah Dr. Phil McGraw. Beliau mungkin tidak sepopular tokoh yang sebelum ini. Namun secara dasarnya, jika di peringkat global yang lain seperti Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan beberapa tempat yang lain, beliau adalah antara tokoh yang sangat tersohor. Menerusi channel 10, di sekitar Clayton, Victoria, saya sememangnya telah setia di depan Televisyen menantikan program istimewa kendalian Dr. Phill (yang juga nama bagi program tersebut). Apa yang menarik tentang rancangan itu ialah kehebatan pakar terapi keluarga (Dr. Phill) yang dikendalikan secara langsung di kaca TV dan dipertontonkan kepada penonton di studio. Dengan cara gaya kendalian yang bersahaja, professional serta matang, Dr. Phil menemubual klien dan menguruskan konflik kekeluargaan secara langsung. Itulah kehebatannya yang sukar ditandingi dan ternyata penerimaan amalan terapi kaunseling ini diperakukan di Negara-negara Maju. Setiap kes yang dikendalikan menghasilkan impak yang positif menerusi kesediaan klien untuk mengikuti program secara rela. Beliau yang julung kalinya pernah muncul dalam rancangan Oprah Winfrey Show dikenali sebagai human behaviour expert. Menerusi laman web rasminya iaitu ‘Dr. Phil - Official Siteanda berpeluang mengenalinya dengan lebih rapat dan jelas. Tujuan saya memperkenalkan beliau di sini ialah untuk menambahkan koleksi tokoh terkemuka yang anda kenali. Justeru, setiap tokoh yang menemani saya sepanjang pengajian di Melbourne telah saya kongsikan menerusi topik ini untuk perhatian anda semua. 
Selain daripada tiga (3) orang tokoh tersebut, semestinya masih ramai lagi tokoh-tokoh terkemuka yang menjadi sumber inspirasi setiap daripada kita. Paling agung, dan tidak ada bandingnya ialah junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Kegemilangan pemerintahan dan kepimpinan Baginda meninggalkan satu impak yang sangat besar dalam diri setiap yang beragama Islam. Kesimpulannya, dengan mengambil kira tokoh-tokoh terkemuka dunia ini malahan berjuta lagi tokoh yang lain yang tidak disentuh di sini, maka kita perlu sedar dan akur bahawa ada sesuatu yang menyamakan kita dengan mereka ini, iaitu akal. Setiap daripada kita dikurniakan akal, besar atau kecil peranan yang kita mainkan bukanlah isu yang perlu diperdebatkan. Paling utama ialah sejauh manakah kita telah menggunakan akal kurniaan Illahi itu dalam mengatur kehidupan ini. Atas dasar itulah, saya amat optimis untuk menyeru anda semua untuk bangkit daripada segala kebuntuan diri. Kebuntuan mahupun musuh diri yang selama ini telah membuatkan kita mungkin ‘tua sebelum usia’ iaitu bertindak seolah-olah tidak punya kudrat dan daya, berfikir seperti tidak mempunyai harapan yang besar serta berperasaan sebagaimana mereka yang tidak punya harapan.
Secara idealnya, setiap daripada kita mempunyai kehebatan masing-masing dan bakat yang ada perlu dizahirkan agar member manfaat untuk diri dan orang lain. Perlu ditegaskan di sini, kelebihan dan kekurangan diri itu adalah lumrah hidup bagi setiap manusia. Apa yang perlu dilakukan ialah dengan mengimbangi setiap kelebihan dan kekurangan diri itu supaya wujud rasa syukur atas anugerah yang dikurniakan buat kita sebagai manusia. Justeru, tiada lagi rasa ragu-ragu dan rendah diri yang membantutkan lagi usaha murni kita ke arah kejayaan.

No comments:

Post a Comment