Monday, 24 October 2011

Kekayaan itu milik kita!

NOTA INSPIRASI
KEKAYAAN ITU MILIK KITA SELAMANYA: CORETAN DARI SEKEPING HATI KURNIAAN DAN MILIK ILLAHI.
“Aku menulis bukan kerana nama. Aku meluahkan bukan kerana simpati. Dan aku berkongsi bukan kerana harta mahupun wang ringgit. Yang pasti, aku menulis kerana hati, yakni sekeping hati kurniaan Allah S.W.T yang menjadi nadi setiap tindakan, perilaku dan percaya diri yang aku yakini selama ini” aku bermonolog. Sedari itu, perluahanku di sini idealnya terdorong oleh rasa hati yang terus dan terus meyakini akan nikmat perkongsian ilmu dan pengalaman. Jelasnya, ilmu itu milik Allah S.W.T dan rasionalnya aku perjelaskan pada sebuah kesempatan ini. Terima kasih Allah atas segala-galanya.
Sirna itu muncul lagi. Meskipun pada permulaannya agak suram (tetapi tetap menyinar tanpa padam) namun akhirnya ia terus menyinar, bergemerlapan dan menerangi segala pelusuk hati ini. Paling utama, ia tetap menyinar walaupun mungkin ada ribut yang mendatang untuk membuatnya terpadam (metafora). Sinaran itu tetap memancar terangi segala meskipun satu hari nanti sinarnya mungkin akan terpadam, namun kesannya akan tetap menyinari hati kita selama-lamanya atas niat yang tulus ikhlas dalam setiap apa yang kita kerjakan.
‘Aku’, adalah kata ganti diri yang terbiasa dalam perluahan rasa hati dan idea yang muncul di sanubari. Dan kata ‘aku’ ini yang membolehkan nota ini diolah dengan himpunan suara hati dan cetusan rasa yang bermakna. Sepertimana jelasnya tutur kata kita tatkala berbicara dengan Yang Maha Esa, maka begitulah jua aku cuba perhalusi apa yang ingin aku catatkan di sini dengan menggantikan diriku atas nama ‘aku’. Memulakan kisah, aku memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Illahi kerana selama ini aku terlalu “MEWAH” dan tidak terlampau jika aku katakan bahawa hidupku selama ini terlalu “KAYA”. Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sederhana tetapi sesungguhnya memang KAYA. Bukan kaya harta pusaka, bukan juga kaya dengan wang ringit yang berpuluh-puluh guni, tetapi tersiratnya terlalu kaya dengan kasih sayang. Terima kasih Allah, atas nikmat ini. Sejak kecil lagi, ayahbonda serta keluarga memewahkan kami semua dengan ‘kekayaan’ itu. Dan sebagai puteri ketujuh, daripada 8 orang adik-beradik dimana yang kelapan adalah satu-satunya lelaki, maka gelaran sebagai puteri ketujuh atau bongsu perempuan, aku ternyata hidup dalam kemewahan, kemewahan kasih sayang. Namun kemewahan itu tidak memekakkan telingaku, tidak juga membutakan mata, apatah lagi membisukan bicara. Segala-galanya diadaptasi secara seimbang, luaran dan dalaman. Kekayaan itulah yang memperlengkapkan kematangan emosi dan spiritual dalam diriku, dan pastinya adik-beradikku yang lain turut merasakannya. Terima kasih Allah! Terima kasih Ayahbonda.
Ekoran kekayaan itulah, aku terbiasa dengan himpunan kata-kata peransang, dorongan, galakan serta kepercayaan daripada keluarga. Konsepnya sangat mudah, dimana segala apa yang ingin aku lakukan, mereka (keluarga terutama ayahbonda) senantiasa di sisi, tidak berganjak walau seincipun (metafora). Nilai-nilai itu membuatkan aku juga KAYA, yakni kaya dengan CITA-CITA. Jikalau dahulu, mereka yang terlalu banyak angan-angan ini sering dikaitkan dengan ‘Angan-angan Mat JENIN’ ataupun jua ‘hangat-hangat tahi ayam’, namun persepsinya berbeza dengan fahaman aku. Ternyata angan-angan itu juga penting dan jika perlu dipanjangkan lagi angan itu, tiada salahnya asalkan disusuli dengan tindakan.
Pernah satu hari, selewat semusim nan lalu pada tahun 1990, tatkala mewakili Sekolah Rendah Kebangsaan Pasir Akar (SKPA) dalam acara larian 4 X 200 meter (Kategori Perempuan), ayahanda turut sama-sama berlari mengiringi larianku itu. Alhamdulillah, SKPA Berjaya merangkul gelaran Johan Keseluruhan Temasya Sukan yang berlangsung pada hari itu sedang aku dan rakan-rakan menjadi Johan Larian tersebut. Nilaianku bukan semata-mata terletak pada sebuah kemenangan itu serta ‘medal’ yang sehingga ke hari ini masih setia bergantungan di almari hiasan (Rumah Ayahbonda). Penilaianku juga bukan pada larian iringan di bahagian tepi padang itu, tidak juga pada laungan semangat daripada ayahanda tercinta yang masih terngiang-ngiang di telingaku:
“Lari dik. Laju lagi. Laju lagi. Sikit je lagi nak habis tu. Lari dik, lari” (Sumber peribadi: Imbauan kasih selama hampir 21 tahun lamanya).
Namun yang jelas pada mata hati aku ialah pancaran sinar kasihnya serta ‘kekayaannya’ itu. Sekali lagi, hatiku terusik dan terdidik oleh nikmat kekayaan itu. KAYA KASIH SAYANG.
Renungan pantas di sini, setiap individu itu berbeza. Penilaian dan pegangan erti kehidupan juga pasti berbeza. Namun apa yang menyatukan kita ialah, setiap daripada kita punya akal, hati dan juga perasaan. Hati itulah yang perlu dijaga, sebaik yang mungkin. Kerana jika hati itu menerima nikmat yang sepatutnya, seadilnya dari sudut duniawi dan ukhrawi, sudah pasti emosi juga akan senantiasa matang (walau sesekali kita mungkin terlepas pandang dan hampir tergelincir. Yang utamanya, kita hanya sesekali tergelincir tetapi tidak rebah terus).

Kekayaan itu terserlah lagi. Jika diikutkan, terlalu banyak peristiwa yang menjadi sejarah pada sebuah empayar CINTA yang aku jalani. Cinta dan Sayang yang akhirnya mencipta getaran rasa yang positif dalam diri. Walaupun mungkin dikritik, didesak mahupun ditekan oleh anasir-anasir luar yang menduga, namun ia sedikitpun tidak meninggalkan kesan di jiwa, apatah lagi mencalarkan hati. Sebaliknya, hati ini makin kukuh, kuat dan teguh sepertimana pesan bonda, “Dik (Adik), kalau asalnya emas, ditimbus beribu kaki dalam tanah, munculnya nanti tetap juga emas”. Nah! Itulah tandanya keteguhan kasih dan kekayaan cinta dari bonda tercinta (Sumber peribadi: Imbauan kasih selama hampir 27 tahun lamanya).
Segala-galanya bukan hanya untuk nikmat aku semata-mata tetapi untuk aku, dia dan mereka. Tanggal 1997, mentari itu muncul lagi. Menyerlahkan sinar harapan yang masih berbaki hasil berkat dari Yang Maha Esa. Kisahnya bermula di bumi Seri Nering yakni Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nering (SSN). Sejak dari awal aku menjejakkan kaki ke bumi SSN, bagai ada satu kuasa magnetik yang membuatkan langkahku terkunci dek satu nekad yang ternyata pasti. Bahang ‘kekayaan’ itu makin kuat aku rasai dan menusuk di jiwa. Terpilih sebagai pemantun mewakili SSN menjadi pencetus semangat diri yang pastinya akan kekal sampai bila-bila. Amanah yang dipikul menerusi persembahan lisan Melayu Tradisional (Pantun) itu membuka mata dan hati ini untuk terus mengasah bakat yang ada. Yang paling khususnya apabila dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik Kebangsaan sempena Pesta Pantun Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 1997. Perkongsian di sini, bukanlah pada gelaran yang disandang, tetapi nikmat ‘kekayaan kasih sayang’ yang makin berkembang dan bertambah. Empayar ‘kekayaan’ kasih saying itu makin meluas, sehinggakan tidak terjangkau dek akalku. Ibarat kata, yang tidak kenal, menjadi kenalan rapat, yang jauh didekatkan, yang menyisih mulai menghargai, yang akrab menjadi bertambah jelekit. Syukur padaMu Ya Allah!
Kisah ‘kekayaan’ ini tidak terhenti di sini, malahan plot ceritanya makin berkembang dari satu peristiwa ke peristiwa yang lain. Di kesempatan ini, setiap kisah itu diringkaskan bagi menggenapkan ruang kesempatan dan peluang yang diberikan. Yang paling utama, mesej itu sampai. Jikalau tidak sampai juga, perhubungan ini tidak hanya terhenti di nota ini tetapi masih boleh diteruskan secara alamiah di Seksyen Kaunseling Pelajar, UPM.
Bertapak di Bumi Australia atau lebih sinonim dengan gelaran “Bumi Kanggaroo”, adalah bukti kekayaan dari Yang Maha Esa. Segalanya terhasil dari kekayaan doa Ayahbonda, suami tercinta (yang turut sama berjuang di sana), keluarga dan rakan-rakan seperjuangan. Untuk kesekian kalinya, ia masih didasari oleh bukti sebuah nikmat ‘kekayaan’ itu yakni KAYA KASIH SAYANG. Dan kekayaan itu dirahmati Allah. Aku berani mengiyakannya kerana pada hemahku,  kepercayaan pada rahmat Illahi itu adalah pelengkap segala-galanya terhadap apa jua yang kita lakukan, amalkan dan laksanakan dalam hidup ini tidak kira asal usul dan keturunan kita. Semuanya harus digerakkan oleh daya tindak dan keyakinan pada Yang Maha Pencipta. Impian dan cita-cita untuk menjejakkan kaki ke Luar Negara  serta hasrat terpendam untuk meneruskan pengajian di sana menjadi sesuatu yang realiti dan bukannya mimpi mahupun fantasi. Hasil keberkatan dari Yang Maha Esa, rezeki tanpa diduga hadir satu persatu dalam hidup kami (aku, suami dan anak-anak). Mendapat berita kejayaan suami melanjutkan pengajian ke Melbourne, Australia adalah satu berita yang amat dinantikan kerana kami percaya ilmu itu sememangnya milik Allah. Sekali kita punyai ilmu itu (dalam apa jua bidang), maka idealnya kita perlu berkongsi dengan sesiapan sahaja. Justeru, aku mengatur langkah untuk bersama temani suami di bumi Aussie (Australia). Berkat usaha dan makluman dari rakan-rakan, aku berjaya mendapatkan biasiswa tajaan UPM (yang tercinta) untuk meneruskan pengajian Sarjana dalam bidang Pendidikan Dewasa. Ya Allah! Hanya Engkau Yang Maha Mengetahui betapa aku terkejut dan bersyukur dengan kurniaanMu ini. Terlalu besar buat aku Ya Allah! Syukur padaMu Ya Allah! Terima Kasih Ya Allah!
Masih dalam plot kehidupan yang sama, perluahan dan perkongsian ini didasarkan kepada pengalaman di perantauan. Melbourne, iya Melbourne, satu destinasi yang menjadi tumpuan dunia. Berbekalkan tahap ketamadunan yang tinggi, kemajuan yang tanpa batasan, serta konteks silang budayanya yang sangat terbilang, maka sudah pasti ianya mampu membuatkan jiwa kita terpana. Terlalu mengasyikkan nikmat ini, Ya Allah! Diringkaskan di sini, pengalaman itu terlalu besar (kusimpan untuk perkongsian yang seterusnya) dan ternyata meninggalkan satu kesan mendalam dalam diri aku. Bukan sahaja kejayaan menamatkan pengajian di sana, bahkan kejayaan mendalami erti hidup ‘kebersamaan’ dan nilai-nilai tersirat dalam corak perhubungan sesama manusia. Inilah yang menjadi nadi kehidupanku hari ini yakni ilmu kemanusiaan yang lebih mendalam (Holistik dan Humanistik). Alhamdulillah, perjuangan di sana telah selesai dan kejayaannya berganda dengan kelahiran anak kedua yang menyinari hidup kami sekeluarga. Nah! Inilah jua bukti ‘kekayaan’ itu. Auranya makin berkembang dan hampir menyeluruh dalam kehidupanku. Mungkin sukar dilihat secara alamiah, tetapi yang pasti bahangnya menusuk ke sanubari dan aku masih menikmatinya. Terima kasih Ya Allah! Yang paling ketara menerusi pengalaman sebagai perantau ialah nikmat kasih sayang itu. Sejujurnya ia tiada tandingannya. Kasih sayang makin bertambah lantaran perhubungan yang rapat sesama ahli perantau lain serta juga kemuafakatan dari konteks silang budaya. Sesuangguhnya, tidak pernah terdetik dalam hati ini perasaan merantau, Segalanya-galanya seakan berada di bumi sendiri, bukannya di medan perantauan. Ya Allah! Itulah nikmat yang tidak ternilai, bukti ‘kekayaan kasih sayang’ itu.
Menamatkan coretan ini, ingin aku perjelaskan bahawa dalam kehidupan ini, meskipun kita tidak punya harta, pangkat, wang ringgit atau apa jua sekalipun, itu tidak menjadi hal. Keutamaannya kita memiliki sekeping hati. Dan yang pasti, KEKAYAAN ITU MILIK KITA SELAMANYA. CORETAN DARI SEKEPING HATI KURNIAAN DAN MILIK ILLAHI.

Nukilan puitis,
SITI FATIMAH ABDUL GHANI

No comments:

Post a Comment