ACCEPTANCE |
Dewasa ini, ramai yang lebih pandai berkata-kata ekoran letusan maklumat menerusi pelbagai sumber yang ada dalam era teknologi ini. Ada masanya juga AGAMA seakan dijual beli semata-mata untuk keperluan sosial dalam erti kata pengaruh sosial. Namun, jika diteliti dan dihalusi secara teori dan praktikal, ternyata AGAMA itu bukan hanya berbentuk literal semata. Malahan, sosial obligasi termasuk prihatin, empati, sensitif, peka, kebersamaan, kemahiran silang budaya, setia kawan (tanpa berpuak-puak), ketelusan hati dan sebagainya juga termasuk dalam persoalan AGAMA.
Maka sedari itu, cuba kita renung sejenak, dalam kebanyakan hal dan situasi yang melibatkan ideologi kemanusiaan serta keagamaan ini, "Adakah kita benar-benar bebas dari kemelut KESELESAAN?". Keselesaan dalam mengadaptasi diri dengan pelbagai situasi dan keadaan, keselesaan dalam menjalinkan perhubungan sosial yang matang dan berteraskan batasan keagamaan, keselesaan dalam interaksi seharian dan segalanya yang melibatkan psikologi sosial. JAWAPANNYA, secara kasar adalah TIDAK kerana dalam kebanyakan situasi, tanpa disedari kebanyakan individu memilih untuk bersama-sama dengan mereka yang dirasakan nyaman dan selesa. Maka, tanpa disedari, ia mewujudkan kelompok-kelompok kecil yang jika dibiarkan menjadi kelompok besar yang hanya mementingkan keselesaan ahli kelompok semata-mata. Dan kesannya hanya dirasai mereka yang diluar kelompok itu (in-group versus out-group). Sekali lagi saya ingin tekankan bahawa kemahiran social dan kematangan fikiran bukan hanya mampu diraih menerusi fahaman tunggal dalam agama tetapi NILAI KEMANUSIAAN dan KEPEKAAN SOSIAL yang dimiliki. Idealnya, jadilah manusia yang berperi kemanusiaan dengan merayakan kebebasan hak-hak individu mengikut acuan yang positif sebelum mampu menjadi insan yang telus dalam beragama. Rasionalnya sangat mudah, kerana nilai-nilai kemanusiaan itulah juga yang menjadi salah satu tunjang dalam agama.Tambahan pula, hampir keseluruhan nikmat masa dan usia yang dikurniakan olehNya kepada setiap yang bergelar insan adalah melibatkan perhubungan sosial sesama manusia tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan. Dan inilah yang dikatakan kepekaan sosial yang ada, tanpa prejudis.
Merujuk kepada hujah di atas, terpanggil saya untuk berkongsi satu nilai yang saya pelajari dan amati lantas meneliti keberkesanannya. Nilai itu ialah ‘mencabar diri’ demi hasil yang lebih maksimum. Cabar diri yang saya maksudkan berlaku apabila secara paksa rela, saya membenarkan diri saya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran yang pada mulanya sungguh asing buat saya. Bermula dari persediaan emosi, rohani dan intelektual, saya harus mengingatkan diri dengan kata-kata positif demi merangsang minda ke arah budaya berfikir yang matang dan terlatih. Boleh dikatakan, hamper setiap hari, saya mempelajari sesuatu yang baru. Sejujurnya, setiap apa yang saya lalui sepanjang pengajian di Australia adalah sesuatu yang mencabar, benar-benar mencabar. Apa tidaknya, segala-galanya selesa buat saya di Malaysia, dengan persekitaran kerja yang kondusif, rakan-rakan yang sebangsa, seagama dan senegeri juga mungkin, membuatkan keselesaan itu cukup besar. Namun ianya jauh berbeza dengan kehidupan saya di Melbourne pada permulaannya. Namun akhirnya, setelah mempelajari akan sesuatu nilai itu, maka saya sedar dan akur bahawa tempat bukan persoalannya, tetapi persiapan diri itu yang lebih utama.
Secara idealnya, keselesaan adalah perkara yang paling penting. Namun, apa salahnya jika kita melonggarkan sedikit perakuan diri tentang keselesaan ini terutama dalam berkawan dan berinteraksi, semata-mata untuk mengeratkan tali silaturrahim sesama kita. Jika senantiasa bergaul dengan mereka yang kita selesa, maka kemungkinan besar kita tidak punyai masa untuk mengenali hati budi mereka yang kita kurang selesa (atau mungkin zahirnya nampak kurang menyenangkan, tapi hati budinya hanya Tuhan yang ketahui). Secara logiknya, itulah yang akan berlaku sekiranya kita terlalu terikat pada tahap keselesaan diri ataupun juga zon selesa. Lekatan itu membuatkan seseorang individu enggan berubah dan sukar mencari pembaharuan. Justeru akan wujud sikap penuh dengan ketakutan pada diri sendiri dan ragu-ragu untuk melakukan sesuatu. Kesannnya sudah pasti membantutkan potensi diri. Oleh yang demikian, perkara paling asas untuk meledakkan potensi diri ialah dengan berani keluar dari zon selesa dengan langkah utama mencabar diri demi pembaharuan yang lebih positif.
Selain itu, terikat dengan zon selesa juga merupakan penyebab kita merasa diri terkongkong dan terbatas dalam semua aspek kehidupan. Ianya disebabkan kesan daripada perasaan yang ragu-ragu terhadap daya tindak seseorang individu itu. Sebagai contoh, dalam menjalinkan tali persahabatan. Difahamkan, mereka yang terlalu terikat dengan keselesaan ini biasanya akan merasa selamat dan memilih untuk hanya berhubungan dengan mereka yang benar-benar dirasakan sesuai dan meraka selesa. Tanpa disedari, sikap pilih kasih atau terlalu memilih kawan ini (dalam aspek yang negatif iaitu pengasingan) maka akan ada juga hati dan perasaan terpinggir yang wujud di sekeliling kita. Andai kata agama ataupun elemen spiritual menjadi tonggak kesejahteraan hidup seseorang individu, tetapi kenapa pula elemen keagamaan ini tidak dipanjangkan dalam konteks sosial? Dan persoalan saya di sini, "Di manakah kefahaman beragama itu diterapkan?”. Sedangkan kita sedar dan akur bahawa dalam apa jua agama, nilai- nilai kemanusiaan itu juga penting dalam mencapai kesejahteraan.
Keselesaan dan bezanya dengan ketidakselesaan. Mungkin janggal untuk diperdebatkan. Namun inilah yang menjadi persoalan hari ini. Hemah saya, jika kita mampu menyesuaikan diri dengan keadaan/ situasi/ individu/ apa jua perkara, maka sudah tentu kita lebih mampu bertahan, berinteraksi, bergerak dan berperasaan. Optimisnya di sini ialah, kita tidak mampu untuk mengubah corak pemikiran individu lain sepertimana mudahnya saluran program TV ditukarkan apabila kita tidak seronok dengan program yang ditayangkan di saluran TV dengan program lain yang mampu menarik minat kita. Interpretasinya, kita tidak mampu untuk memastikan semua orang merasa selesa dengan kita seadanya kita, apatah lagi memaksa yang lain untuk merasa selesa dengan kita. Tetapi logiknya, KITA MASIH MAMPU untuk mempraktikkan diri kita agar berasa SELESA dengan apa jua situasi yang dihadapi baik melibatkan diri sendiri, orang lain mahupun persekitaran.
family first should be at the centre of our Australian way of life, not government bureaucracies. With the rising cost of living putting more and more pressure on families they need more income to function properly and make ends meet.
ReplyDelete