Monday, 24 October 2011

BULATKAN CITA-CITA

Perkara paling asas untuk berjaya dalam hidup ialah dengan menjadi diri anda sendiri. Pada pandangan saya, kejayaan itu adalah subjektif dan tidak harus diletakkan pada satu fahaman semata-mata. Kepelbagaian itu wajib difahami secara lebih mendalam bagi membolehkan setiap daripada kita merasai nikmat sebenar hasil kejayaan yang diraih lantas mewujudkan rasa syukur yang tertinggi kepada Yang Maha Pencipta. Perkaitan antara cita-cita dan musuh diri ini sangat rapat memandangkan kedua-duanya adalah asas kejayaan mahupun asas kegagalan. Justeru, kehebatan seseorang individu itu bukan hanya terzahir secara fizikal tetapi spiritual. Ianya mungkin tidak harus dilabelkan dengan melihat keupayaan kewangan sahaja tetapi lebih besar impaknya berkaitan dengan keteguhan jiwa dan ketenangan hati yang dimiliki. Menyetntuh tentang kuasa wang ini, terpanggil saya untuk menyambung pengalaman peribadi di Australia. Perasaan pertama yang terpacul di minda saya ialah keluhan rasa hairan dan meninggalkan tanda tanya. Perkara yang ingin saya kongsikan di sini selalunya berkait rapat dengan mereka yang kurang berkemampuan dalam konteks Malaysia iaitu kemampuan memilik kenderaan bermotor, menambah koleksi kenderaan serta keghairahan menukar ganti kenderaan.

Jika di Malaysia, amat jarang kita temui mereka yang berjawatan tinggi dan berkemampuan menggunakan kenderaan yang berusia lebih dari 10 tahun. Namun situasi ternyata amat berbeza di sana, contohnya di kawasan perumahan saya yang kedua iaitu di Clayton, Melbourne. Kebanyakan pengguna kenderaan amat selesa menggunakan kereta yang usianya mencecah lebih daripada 15 tahun meskipun mereka mempunyai jawatan yang besar dan kemampuan kewangan yang ternyata jauh lebih besar daripada kita di Malaysia. Penghayatan saya menerusi keadaan persekitaran, perbualan bersama rakan-rakan senegara mahupun jiran tetangga yang berwarganegara Australia, kebanyakan mereka sedikitpun tidak merasa malu untuk memilik kenderaan yang seusia itu. Malah mereka seboleh-bolehnya akan mengguna pakai kenderaan itu setakat yang boleh. Di sini saya ingin mengajak anda semua memikirkan apa yang berlaku di Malaysia, di persekitaran anda malahan mereka yang paling rapat dan hampir dengan anda. Setujukah anda jika saya katakana bahawa purata bilangan kenderaan yang dimiliki oleh setiap isi rumah di Malaysia ialah sekurang-kurangnya 2 buah kenderaan, malahan mungkin kuantiti itu lebih tinggi lagi. Untuk apakah semuanya ini? Keperluan ataupun mewujudkan keperluan itu?

Pengalaman peribadi yang paling tepat untuk menggambarkan situasi yang berlaku ialah apabila sekembalinya saya daripada cuti belajar, seorang kawan bertanya kepada saya, “Pakai kereta apa sekarang ni Siti? Kereta Toyota Vios yang dulu ke?”. Sejujurnya, soalan berkenaan kereta bukanlah isu yang menarik perhatian saya, tetapi maksud tersirat daripada soalan yang diajukan itu adalah jauh lebih menarik perhatian. Dengan nada yang bersahaja saya menjawab, “ Kereta sama je, tak tukar pun. belum amsanya lagi. Toyota Vios dahulu saya jual memandangkan kami (saya dan suami) tidak memerlukannya lagi atas dasar menyambung pengajian di Luar Negara. Untuk apa saya perlu membayar ansuran hampir RM 1000 kepada perkara yang bukan lagi keperluan saya”. Mendengarkan jawapan saya, beliau masih lagi berminat dengan ‘isu tersirat’ yang saya perhatikan dan percaya telah bersarang dalam minda beliau. “Owh! Macam tu ya Siti. Hmmmm.”. Beliau kemudiannya menyambung dan berkata, “Hai takkan taknak tukar kenderaan, dah nanti hiduppun makin cemerlang, suamipun sememangnya dari dulu lagi bergaji besar”, ujar beliau meluahkan pandangan yang masih berbaki. Jawab saya dengan ringkas, “Buat masa ni, belum lagi (Malas saya nak jelaskan pada orang-orang yang sebegini terdesak dengan unsur materialistik). Hmmmm ungkin lain kali, akan adalah masanya nanti. Sekarang ini, biarlah dengan Kancil ini memandangkan suami masih lagi di sana, lagipun Kancil ini telah lama menjadi milik saya yang abadi, tiada lagi ansuran bulanan yang perlu dilangsaikan. Ibaratnya, tiada lagi stress”.

Merujuk kepada perbualan tadi, apakah yang anda fikirkan? Mampukah anda melihat corak pemikiran dan nilai yang ditonjolkan secara tersirat? Mengapakah ianya berlaku, desakan ataupun amalan komuniti yang mementingkan materialistik? Adakah juga kereta itu lambang kejayaan? Sedarkah kita bahawa ianya juga penyakit, penyakit hati iaitu apabila ia membuatkan hati merasa tidak cukup, terdesak dan nafsu untuk memiliki kereta idaman semakin membuak-buak? Sedarkah juga kita bahawa itulah juga liabiliti, bukannya aset? Dan akhir sekali, persoalan saya di sini, adakah kereta itu merupakan lambang kemewahan dan taraf sosial seseorang itu? Tepuk dada, tanya hati. Namun sedikit sebanyak, sahabat saya tadi telah meninggalkan saya dengan satu fahaman berkenaan nilai yang dipegang oleh masyarakat kita iaitu keperluan materialistik dalam membuktikan kejayaan diri. Apa yang termampu saya ucapkan kepada beliau, terima kasih atas penjelasan ini. Sesungguhnya saya memperlajari sesuatu dan saya juga terkesan oleh nilai yang terzahir di Negara maju seperti Australia.

Berbalik kepada situasi yang berlaku di Australia, kuasa kewangan peribumi di sana sememangnya jauh lebih besar daripada kita di sini. Perbandingan keupayaan kewangan ini bukan didasarkan kepada nilaian pertukaran mata wang asing tetapi atas kadar yang sama mengikut konteks pekerjaan di sana. Apa yang menimbulkan persoalan kepada saya ialah “Mengapa mereka tidak membeli kereta-kereta yang berjenama mewah sedangkan mereka mampu memilikinya?”. Tambahan pula dengan skala pendapatan yang sangat tinggi berserta harga kereta yang ternyata lebih murah dari Malaysia, apakah lagi halangannya? Atau mungkin tiada apa yang menjadi halangannya tetapi persoalan nilai yang diletakkan bukan hhanya semata-mata pada kenderaan yang dimiliki tetapi kemewahan hidup berkeluarga dan budaya masyarakat moden yang maju dan matang itu lebih diuatamakan.

Selain daripada memiliki kereta yang telah lewat usia, mereka juga amat selesa menggunakan kemudahan pengangkutan awam. Dengan gaya yang bersahaja, professional dan berpendidikan, setiap watak-watak yang saya temui diperhatikan dan dijadikan sumber asas untuk saya memahami sesuatu nilai yang unik dan simbolik. Namun perlu ditegaskan di sini, bohong jika saya katakan tiada langsung yang memiliki kereta berjenama mewah tetapi secara realitinya itulah yang berlaku, meskipun di sekitar Melbourne City juga, deretan kereta lewat usia ini sungguh bebas bergaya memenuhi pemandangan kota metropolitan yang terkenal serata dunia dengan seni reka cipta bangunannya. Secara idealnya, perkongsian ini adalah bertujuan untuk memperihalkan tentang system nilai yang dimiliki itu berbeza dari seorang individu dengan individu yang lain. Disebabkan itu,  maka definisi kejayaan juga berbeza dan sangat subjektif. Demi mencapai apa yang diimpikan, maka sudah semestinya cita- cita menjadi perantara kepada tindakan yang akan diambil oleh seseorang individu.
Pada asasnya, kemahiran dan nekad untuk membulatkan cita-cita juga merupakan halangan dalam diri yang sangat berpengaruh. Jika anda gagal untuk membulatkan cita-cita dengan nekad yang jelas maka impaknya boleh menghalang anda daripada melakukan sesuatu usaha itu dengan daya tindak yang sewajarnya. Amer (2001) menyatakan bahawa persekitaran bermotivasi merupakan faktor penting dalam membina kendiri unggul yang berkarisma. Justeru, persekitaran yang bermotivasi bukan hanya bergantung kepada persekitaran luar, tetapi secara realitinya ia harus bermula dari dalam diri anda. Di samping itu, persekitaran bermotivasi yang datang secara dalaman dapat memberikan semangat kepada kita untuk berusaha seikhlas hati dan penuh tekad. Maka inilah yang dinamakan sebagai proses memperjelaskan lagi cita-cita yang ada. Sememangnya semangat tidak datang dengan begitu mudah, tetapi masih mampu dicipta dan dipraktikkan.

Amalan yang telah saya praktikkan selama ini ialah dengan mewujudkan persekitaran bermotivasi secara dalaman. Pada pandangan saya, mewujudkan persekitaran motivasi tidak sukar sebagaimana sukarnya untuk kita mencari persekitaran itu. Paling utama, kita perlu sedar bahawa proses pembelajaran juga mempunyai elemen-elemen persekitaran dan sudah pasti kita terlibat sama dalam menentukan corak serta gaya persekitaran itu. Berikut merupakan amalan yang saya lakukan bagi tujuan membangkitkan persekitaran bermotivasi sepanjang saya berada di Melbourne, Australia iaitu:
  • Berfikir tentang kejayaan dan yakin diri;
  • Menyusun strategi bagi pengurusan diri sewajarnya;
  • Memberi fokus kepada tindakan yang perlu diambil berbanding halangan-halangan yang ada;
  • Berani memperihalkan tentang cita-cita kepada orang lain dengan niat perkongsian dan bukan setakat berangan-angan Mat jenin;
  • Memberanikan diri berkomunikasi dengan orang lain meskipun berbeza agama, bangsa dan keturunan;
  • Mencontohi orang yang telah berjaya; dan
  • Suka bertanya bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan bukan hanya khabar angin.

Berdasarkan perkara-perkara yang dinyatakan di atas, maka saya mulai sedar bahawasanya perkara yang paling hebat dan menakjubkan tentang cita-cita ialah kemampuannya membantu seseorang berada di atas landasan yang betul dan terancang. Selain itu, cita-cita juga membantu kita befikir tentang kaedah terbaik yang boleh dilaksanakan bagi tujuan menggapai cita-cita. Secara jujurnya, cita-cita yang saya bina sepanjang tempoh di Luar Negara hanya satu iaitu untuk menimba ilmu pengetahuan dalam bidang berkaitan yang secara langsungnya bertujuan menamatkan pengajian mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Alhamdulillah, segalanya terlaksana sepertimana yang dirancang, malahan cita-cita yang satu itu membuka peluang yang lebih besar. Talib Samat (1998) menyatakan bahawa sikap positif dan percaya diri amat penting dalam kehidupan terutamanya pelajar. Sifat yakin diri ini perlu selari dengan kepercayaan kita kepada Yang Maha Esa bahawa setiap manusia itu mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri. Namun dalam kalangan manusia juga mempunyai satu persamaan iaitu dikurniakan akal untuk berfikir dan menyelesaikan masalah hidup. Secara kesimpulannya, cita-cita itu harus diluahkan sejelas yang mungkin bermula dari dalam hati dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan menerusi akal fikiran yang waras, rasional dan bertuhan.

Sedari itu, maka bersegeralah kita dalam memperjelaskan cita-cita yang dimiliki sekaligus memperincikan tindakan yang berseuaian. Keseluruhannya, cita-cita itu perlu disertai dengan semangat yang jitu dan motivasi yang berpanjangan. Jika anda telah mampu membulatkan cita-cita maka itu tandanya anda telahpun berjaya menyingkirkan musuh dalaman yang berpengaruh. Gage (1992), menyatakan bahawa konsep motivasi berperanan halus dan tajam dalam membantu kita memahami dan menterjemahkan disiplin diri dan fokus tingkahlaku dan pengajaran. Justeru, bulatkanlah cita-cita tanpa sedikitpun merasa ragu-ragu dengan keupyaan diri. Jika merasakan diri anda memerlukan bantuan, maka segeralah mendapatkan bantuan pakar yang terlatih bagi tujuan menzahirkan keunggulan diri.

1 comment:

  1. Ashley Fenn is currently involved in the development and management of over 800 dwellings within the Melbourne district and over 2800 new homes nationally, all of which are made available to low and middle-income key workers at a discounted rental. Ashley Fenn is married with teenage children and for the previous 8 years has created strong community ties in the local East Melbourne church.

    ReplyDelete