Wednesday, 26 October 2011

THE POWER OF WORDS.



CHANGE YOUR WORDS, CHANGE YOUR WORLD!
YOU CAN NOT CHANGE THE WORLD, BUT YOU...
YOU CAN PRESENT TO THE WORLD AS AN IMPROVED PERSON.



CHEERS,

CTF
What is communication?

Meaningful messages between people:

- To share via genuine relationship
- Verbal or Non-verbal
- Conscious or Unconscious

Depends on knowledge and past experience
- Easy in our own culture (ingroup)
- Challenging outside our culture (Outgroup)

Communication is: transmitting & receiving messages to convey meaning.



TQ.

Cheers,
CTF

Monday, 24 October 2011

BULATKAN CITA-CITA

Perkara paling asas untuk berjaya dalam hidup ialah dengan menjadi diri anda sendiri. Pada pandangan saya, kejayaan itu adalah subjektif dan tidak harus diletakkan pada satu fahaman semata-mata. Kepelbagaian itu wajib difahami secara lebih mendalam bagi membolehkan setiap daripada kita merasai nikmat sebenar hasil kejayaan yang diraih lantas mewujudkan rasa syukur yang tertinggi kepada Yang Maha Pencipta. Perkaitan antara cita-cita dan musuh diri ini sangat rapat memandangkan kedua-duanya adalah asas kejayaan mahupun asas kegagalan. Justeru, kehebatan seseorang individu itu bukan hanya terzahir secara fizikal tetapi spiritual. Ianya mungkin tidak harus dilabelkan dengan melihat keupayaan kewangan sahaja tetapi lebih besar impaknya berkaitan dengan keteguhan jiwa dan ketenangan hati yang dimiliki. Menyetntuh tentang kuasa wang ini, terpanggil saya untuk menyambung pengalaman peribadi di Australia. Perasaan pertama yang terpacul di minda saya ialah keluhan rasa hairan dan meninggalkan tanda tanya. Perkara yang ingin saya kongsikan di sini selalunya berkait rapat dengan mereka yang kurang berkemampuan dalam konteks Malaysia iaitu kemampuan memilik kenderaan bermotor, menambah koleksi kenderaan serta keghairahan menukar ganti kenderaan.

Jika di Malaysia, amat jarang kita temui mereka yang berjawatan tinggi dan berkemampuan menggunakan kenderaan yang berusia lebih dari 10 tahun. Namun situasi ternyata amat berbeza di sana, contohnya di kawasan perumahan saya yang kedua iaitu di Clayton, Melbourne. Kebanyakan pengguna kenderaan amat selesa menggunakan kereta yang usianya mencecah lebih daripada 15 tahun meskipun mereka mempunyai jawatan yang besar dan kemampuan kewangan yang ternyata jauh lebih besar daripada kita di Malaysia. Penghayatan saya menerusi keadaan persekitaran, perbualan bersama rakan-rakan senegara mahupun jiran tetangga yang berwarganegara Australia, kebanyakan mereka sedikitpun tidak merasa malu untuk memilik kenderaan yang seusia itu. Malah mereka seboleh-bolehnya akan mengguna pakai kenderaan itu setakat yang boleh. Di sini saya ingin mengajak anda semua memikirkan apa yang berlaku di Malaysia, di persekitaran anda malahan mereka yang paling rapat dan hampir dengan anda. Setujukah anda jika saya katakana bahawa purata bilangan kenderaan yang dimiliki oleh setiap isi rumah di Malaysia ialah sekurang-kurangnya 2 buah kenderaan, malahan mungkin kuantiti itu lebih tinggi lagi. Untuk apakah semuanya ini? Keperluan ataupun mewujudkan keperluan itu?

Pengalaman peribadi yang paling tepat untuk menggambarkan situasi yang berlaku ialah apabila sekembalinya saya daripada cuti belajar, seorang kawan bertanya kepada saya, “Pakai kereta apa sekarang ni Siti? Kereta Toyota Vios yang dulu ke?”. Sejujurnya, soalan berkenaan kereta bukanlah isu yang menarik perhatian saya, tetapi maksud tersirat daripada soalan yang diajukan itu adalah jauh lebih menarik perhatian. Dengan nada yang bersahaja saya menjawab, “ Kereta sama je, tak tukar pun. belum amsanya lagi. Toyota Vios dahulu saya jual memandangkan kami (saya dan suami) tidak memerlukannya lagi atas dasar menyambung pengajian di Luar Negara. Untuk apa saya perlu membayar ansuran hampir RM 1000 kepada perkara yang bukan lagi keperluan saya”. Mendengarkan jawapan saya, beliau masih lagi berminat dengan ‘isu tersirat’ yang saya perhatikan dan percaya telah bersarang dalam minda beliau. “Owh! Macam tu ya Siti. Hmmmm.”. Beliau kemudiannya menyambung dan berkata, “Hai takkan taknak tukar kenderaan, dah nanti hiduppun makin cemerlang, suamipun sememangnya dari dulu lagi bergaji besar”, ujar beliau meluahkan pandangan yang masih berbaki. Jawab saya dengan ringkas, “Buat masa ni, belum lagi (Malas saya nak jelaskan pada orang-orang yang sebegini terdesak dengan unsur materialistik). Hmmmm ungkin lain kali, akan adalah masanya nanti. Sekarang ini, biarlah dengan Kancil ini memandangkan suami masih lagi di sana, lagipun Kancil ini telah lama menjadi milik saya yang abadi, tiada lagi ansuran bulanan yang perlu dilangsaikan. Ibaratnya, tiada lagi stress”.

Merujuk kepada perbualan tadi, apakah yang anda fikirkan? Mampukah anda melihat corak pemikiran dan nilai yang ditonjolkan secara tersirat? Mengapakah ianya berlaku, desakan ataupun amalan komuniti yang mementingkan materialistik? Adakah juga kereta itu lambang kejayaan? Sedarkah kita bahawa ianya juga penyakit, penyakit hati iaitu apabila ia membuatkan hati merasa tidak cukup, terdesak dan nafsu untuk memiliki kereta idaman semakin membuak-buak? Sedarkah juga kita bahawa itulah juga liabiliti, bukannya aset? Dan akhir sekali, persoalan saya di sini, adakah kereta itu merupakan lambang kemewahan dan taraf sosial seseorang itu? Tepuk dada, tanya hati. Namun sedikit sebanyak, sahabat saya tadi telah meninggalkan saya dengan satu fahaman berkenaan nilai yang dipegang oleh masyarakat kita iaitu keperluan materialistik dalam membuktikan kejayaan diri. Apa yang termampu saya ucapkan kepada beliau, terima kasih atas penjelasan ini. Sesungguhnya saya memperlajari sesuatu dan saya juga terkesan oleh nilai yang terzahir di Negara maju seperti Australia.

Berbalik kepada situasi yang berlaku di Australia, kuasa kewangan peribumi di sana sememangnya jauh lebih besar daripada kita di sini. Perbandingan keupayaan kewangan ini bukan didasarkan kepada nilaian pertukaran mata wang asing tetapi atas kadar yang sama mengikut konteks pekerjaan di sana. Apa yang menimbulkan persoalan kepada saya ialah “Mengapa mereka tidak membeli kereta-kereta yang berjenama mewah sedangkan mereka mampu memilikinya?”. Tambahan pula dengan skala pendapatan yang sangat tinggi berserta harga kereta yang ternyata lebih murah dari Malaysia, apakah lagi halangannya? Atau mungkin tiada apa yang menjadi halangannya tetapi persoalan nilai yang diletakkan bukan hhanya semata-mata pada kenderaan yang dimiliki tetapi kemewahan hidup berkeluarga dan budaya masyarakat moden yang maju dan matang itu lebih diuatamakan.

Selain daripada memiliki kereta yang telah lewat usia, mereka juga amat selesa menggunakan kemudahan pengangkutan awam. Dengan gaya yang bersahaja, professional dan berpendidikan, setiap watak-watak yang saya temui diperhatikan dan dijadikan sumber asas untuk saya memahami sesuatu nilai yang unik dan simbolik. Namun perlu ditegaskan di sini, bohong jika saya katakan tiada langsung yang memiliki kereta berjenama mewah tetapi secara realitinya itulah yang berlaku, meskipun di sekitar Melbourne City juga, deretan kereta lewat usia ini sungguh bebas bergaya memenuhi pemandangan kota metropolitan yang terkenal serata dunia dengan seni reka cipta bangunannya. Secara idealnya, perkongsian ini adalah bertujuan untuk memperihalkan tentang system nilai yang dimiliki itu berbeza dari seorang individu dengan individu yang lain. Disebabkan itu,  maka definisi kejayaan juga berbeza dan sangat subjektif. Demi mencapai apa yang diimpikan, maka sudah semestinya cita- cita menjadi perantara kepada tindakan yang akan diambil oleh seseorang individu.
Pada asasnya, kemahiran dan nekad untuk membulatkan cita-cita juga merupakan halangan dalam diri yang sangat berpengaruh. Jika anda gagal untuk membulatkan cita-cita dengan nekad yang jelas maka impaknya boleh menghalang anda daripada melakukan sesuatu usaha itu dengan daya tindak yang sewajarnya. Amer (2001) menyatakan bahawa persekitaran bermotivasi merupakan faktor penting dalam membina kendiri unggul yang berkarisma. Justeru, persekitaran yang bermotivasi bukan hanya bergantung kepada persekitaran luar, tetapi secara realitinya ia harus bermula dari dalam diri anda. Di samping itu, persekitaran bermotivasi yang datang secara dalaman dapat memberikan semangat kepada kita untuk berusaha seikhlas hati dan penuh tekad. Maka inilah yang dinamakan sebagai proses memperjelaskan lagi cita-cita yang ada. Sememangnya semangat tidak datang dengan begitu mudah, tetapi masih mampu dicipta dan dipraktikkan.

Amalan yang telah saya praktikkan selama ini ialah dengan mewujudkan persekitaran bermotivasi secara dalaman. Pada pandangan saya, mewujudkan persekitaran motivasi tidak sukar sebagaimana sukarnya untuk kita mencari persekitaran itu. Paling utama, kita perlu sedar bahawa proses pembelajaran juga mempunyai elemen-elemen persekitaran dan sudah pasti kita terlibat sama dalam menentukan corak serta gaya persekitaran itu. Berikut merupakan amalan yang saya lakukan bagi tujuan membangkitkan persekitaran bermotivasi sepanjang saya berada di Melbourne, Australia iaitu:
  • Berfikir tentang kejayaan dan yakin diri;
  • Menyusun strategi bagi pengurusan diri sewajarnya;
  • Memberi fokus kepada tindakan yang perlu diambil berbanding halangan-halangan yang ada;
  • Berani memperihalkan tentang cita-cita kepada orang lain dengan niat perkongsian dan bukan setakat berangan-angan Mat jenin;
  • Memberanikan diri berkomunikasi dengan orang lain meskipun berbeza agama, bangsa dan keturunan;
  • Mencontohi orang yang telah berjaya; dan
  • Suka bertanya bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan bukan hanya khabar angin.

Berdasarkan perkara-perkara yang dinyatakan di atas, maka saya mulai sedar bahawasanya perkara yang paling hebat dan menakjubkan tentang cita-cita ialah kemampuannya membantu seseorang berada di atas landasan yang betul dan terancang. Selain itu, cita-cita juga membantu kita befikir tentang kaedah terbaik yang boleh dilaksanakan bagi tujuan menggapai cita-cita. Secara jujurnya, cita-cita yang saya bina sepanjang tempoh di Luar Negara hanya satu iaitu untuk menimba ilmu pengetahuan dalam bidang berkaitan yang secara langsungnya bertujuan menamatkan pengajian mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Alhamdulillah, segalanya terlaksana sepertimana yang dirancang, malahan cita-cita yang satu itu membuka peluang yang lebih besar. Talib Samat (1998) menyatakan bahawa sikap positif dan percaya diri amat penting dalam kehidupan terutamanya pelajar. Sifat yakin diri ini perlu selari dengan kepercayaan kita kepada Yang Maha Esa bahawa setiap manusia itu mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri. Namun dalam kalangan manusia juga mempunyai satu persamaan iaitu dikurniakan akal untuk berfikir dan menyelesaikan masalah hidup. Secara kesimpulannya, cita-cita itu harus diluahkan sejelas yang mungkin bermula dari dalam hati dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan menerusi akal fikiran yang waras, rasional dan bertuhan.

Sedari itu, maka bersegeralah kita dalam memperjelaskan cita-cita yang dimiliki sekaligus memperincikan tindakan yang berseuaian. Keseluruhannya, cita-cita itu perlu disertai dengan semangat yang jitu dan motivasi yang berpanjangan. Jika anda telah mampu membulatkan cita-cita maka itu tandanya anda telahpun berjaya menyingkirkan musuh dalaman yang berpengaruh. Gage (1992), menyatakan bahawa konsep motivasi berperanan halus dan tajam dalam membantu kita memahami dan menterjemahkan disiplin diri dan fokus tingkahlaku dan pengajaran. Justeru, bulatkanlah cita-cita tanpa sedikitpun merasa ragu-ragu dengan keupyaan diri. Jika merasakan diri anda memerlukan bantuan, maka segeralah mendapatkan bantuan pakar yang terlatih bagi tujuan menzahirkan keunggulan diri.

CABAR DIRI BAGI HASIL YANG LEBIH MAKSIMUM


ACCEPTANCE

Dewasa ini, ramai yang lebih pandai berkata-kata ekoran letusan maklumat menerusi pelbagai sumber yang ada dalam era teknologi ini. Ada masanya juga AGAMA seakan dijual beli semata-mata untuk keperluan sosial dalam erti kata pengaruh sosial. Namun, jika diteliti dan dihalusi secara teori dan praktikal, ternyata AGAMA itu bukan hanya berbentuk literal semata. Malahan, sosial obligasi termasuk prihatin, empati, sensitif, peka, kebersamaan, kemahiran silang budaya, setia kawan (tanpa berpuak-puak), ketelusan hati dan sebagainya juga termasuk dalam persoalan AGAMA.
Maka sedari itu, cuba kita renung sejenak, dalam kebanyakan hal dan situasi yang melibatkan ideologi kemanusiaan serta keagamaan ini, "Adakah kita benar-benar bebas dari kemelut KESELESAAN?". Keselesaan dalam mengadaptasi diri dengan pelbagai situasi dan keadaan, keselesaan dalam menjalinkan perhubungan sosial yang matang dan berteraskan batasan keagamaan, keselesaan dalam interaksi seharian dan segalanya yang melibatkan psikologi sosial. JAWAPANNYA, secara kasar adalah TIDAK kerana dalam kebanyakan situasi, tanpa disedari kebanyakan individu memilih untuk bersama-sama dengan mereka yang dirasakan nyaman dan selesa. Maka, tanpa disedari, ia mewujudkan kelompok-kelompok kecil yang jika dibiarkan menjadi kelompok besar yang hanya mementingkan keselesaan ahli kelompok semata-mata. Dan kesannya hanya dirasai mereka yang diluar kelompok itu (in-group versus out-group). Sekali lagi saya ingin tekankan bahawa kemahiran social dan kematangan fikiran bukan hanya mampu diraih menerusi fahaman tunggal dalam agama tetapi NILAI KEMANUSIAAN dan KEPEKAAN SOSIAL yang dimiliki. Idealnya, jadilah manusia yang berperi kemanusiaan dengan merayakan kebebasan hak-hak individu mengikut acuan yang positif sebelum mampu menjadi insan yang telus dalam beragama. Rasionalnya sangat mudah, kerana nilai-nilai kemanusiaan itulah juga yang menjadi salah satu tunjang dalam agama.Tambahan pula, hampir keseluruhan nikmat masa dan usia yang dikurniakan olehNya kepada setiap yang bergelar insan adalah melibatkan perhubungan sosial sesama manusia tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan. Dan inilah yang dikatakan kepekaan sosial yang ada, tanpa prejudis.
Merujuk kepada hujah di atas, terpanggil saya untuk berkongsi satu nilai yang saya pelajari dan amati lantas meneliti keberkesanannya. Nilai itu ialah ‘mencabar diri’ demi hasil yang lebih maksimum. Cabar diri yang saya maksudkan berlaku apabila secara paksa rela, saya membenarkan diri saya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran yang pada mulanya sungguh asing buat saya. Bermula dari persediaan emosi, rohani dan intelektual, saya harus mengingatkan diri dengan kata-kata positif demi merangsang minda ke arah budaya berfikir yang matang dan terlatih. Boleh dikatakan, hamper setiap hari, saya mempelajari sesuatu yang baru. Sejujurnya, setiap apa yang saya lalui sepanjang pengajian di Australia adalah sesuatu yang mencabar, benar-benar mencabar. Apa tidaknya, segala-galanya selesa buat saya di Malaysia, dengan persekitaran kerja yang kondusif, rakan-rakan yang sebangsa, seagama dan senegeri juga mungkin, membuatkan keselesaan itu cukup besar. Namun ianya jauh berbeza dengan kehidupan saya di Melbourne pada permulaannya. Namun akhirnya, setelah mempelajari akan sesuatu nilai itu, maka saya sedar dan akur bahawa tempat bukan persoalannya, tetapi persiapan diri itu yang lebih utama.
Secara idealnya, keselesaan adalah perkara yang paling penting. Namun, apa salahnya jika kita melonggarkan sedikit perakuan diri tentang keselesaan ini terutama dalam berkawan dan berinteraksi, semata-mata untuk mengeratkan tali silaturrahim sesama kita. Jika senantiasa bergaul dengan mereka yang kita selesa, maka kemungkinan besar kita tidak punyai masa untuk mengenali hati budi mereka yang kita kurang selesa (atau mungkin zahirnya nampak kurang menyenangkan, tapi hati budinya hanya Tuhan yang ketahui). Secara logiknya, itulah yang akan berlaku sekiranya kita terlalu terikat pada tahap keselesaan diri ataupun juga zon selesa. Lekatan itu membuatkan seseorang individu enggan berubah dan sukar mencari pembaharuan. Justeru akan wujud sikap penuh dengan ketakutan pada diri sendiri dan ragu-ragu untuk melakukan sesuatu. Kesannnya sudah pasti membantutkan potensi diri. Oleh yang demikian, perkara paling asas untuk meledakkan potensi diri ialah dengan berani keluar dari zon selesa dengan langkah utama mencabar diri demi pembaharuan yang lebih positif.  
Selain itu, terikat dengan zon selesa juga merupakan penyebab kita merasa diri terkongkong dan terbatas dalam semua aspek kehidupan. Ianya disebabkan kesan daripada perasaan yang ragu-ragu terhadap daya tindak seseorang individu itu. Sebagai contoh, dalam menjalinkan tali persahabatan. Difahamkan, mereka yang terlalu terikat dengan keselesaan ini biasanya akan merasa selamat dan memilih untuk hanya berhubungan dengan mereka yang benar-benar dirasakan sesuai dan meraka selesa. Tanpa disedari, sikap pilih kasih atau terlalu memilih kawan ini (dalam aspek yang negatif iaitu pengasingan) maka akan ada juga hati dan perasaan terpinggir yang wujud di sekeliling kita. Andai kata agama ataupun elemen spiritual menjadi tonggak kesejahteraan hidup seseorang individu, tetapi kenapa pula elemen keagamaan ini tidak dipanjangkan dalam konteks sosial? Dan persoalan saya di sini, "Di manakah kefahaman beragama itu diterapkan?”. Sedangkan kita sedar dan akur bahawa dalam apa jua agama, nilai- nilai kemanusiaan itu juga penting dalam mencapai kesejahteraan.
Keselesaan dan bezanya dengan ketidakselesaan. Mungkin janggal untuk diperdebatkan. Namun inilah yang menjadi persoalan hari ini. Hemah saya, jika kita mampu menyesuaikan diri dengan keadaan/ situasi/ individu/ apa jua perkara, maka sudah tentu kita lebih mampu bertahan, berinteraksi, bergerak dan berperasaan. Optimisnya di sini ialah, kita tidak mampu untuk mengubah corak pemikiran individu lain sepertimana mudahnya saluran program TV ditukarkan apabila kita tidak seronok dengan program yang ditayangkan di saluran TV dengan program lain yang mampu menarik minat kita.  Interpretasinya, kita tidak mampu untuk memastikan semua orang merasa selesa dengan kita seadanya kita, apatah lagi memaksa yang lain untuk merasa selesa dengan kita. Tetapi logiknya, KITA MASIH MAMPU untuk mempraktikkan diri kita agar berasa SELESA  dengan apa jua situasi yang dihadapi baik melibatkan diri sendiri, orang lain mahupun persekitaran.

JOM REDHA Tapi teruskan USAHA!

BUKAN SAJA-SAJA Allah meletakkan anda dalam BIDANG itu..
BUKAN SAJA-SAJA Allah
mengurniakan anda KEPAKARAN itu..
BUKAN SAJA-SAJA Allah
memasukkan KELEMAHAN itu..
BUKAN SAJA-SAJA Allah
memberikan UJIAN sebegitu..
BUKAN SAJA-SAJA Allah
membiarkan anda mengemudi dalam KEADAAN sebegitu..

MELAINKAN Allah
tahu anda akan memberikan sesuatu dalam bidang itu..
MELAINKAN Allah
tahu anda bakal membiakkan ilmu-ilmu itu..
MELAINKAN Allah
akan temukan anda dengan insan-insan ikhlas membantu..
MELAINKAN Allah
mahu menguatkanmu..
MELAINKAN Allah
mahu anda tahu betapa tingginya kasih sayangNya padamu..

ZON SELESA DAN ZON TIDAK SELESA





ZON SELESA DAN ZON TIDAK SELESA
Sejak tadi, saya teringat satu ayat berbaur motivasi berbunyi,"jika anda senantiasa melakukan perkara yang sama berserta kaedah yang sama, maka anda akan mendapat hasil yang sama". Bagi tujuan perbincangan yang lebih mendalam, saya mengklasifikasikannya kepada satu fahaman dan amalan hidup yang terikat kepada keselesaan (zon selesa) baik secara psikologi, sosial, kerjaya, amalan seharian, sikap, tingkah laku, etika pemakaian dan seumpamanya. Kebanyakan dari kita, secara sedar atau tidak, TERLALU TERIKAT DENGAN KESELESAAN. Maka kemungkinan besar, hasilnya juga sama. Apakata, kita CUBA tinggalkan sejenak persoalan keselesaan ini dalam situasi yang lebih positif untuk menikmati hasil yang berbeza. Sememangnya saya akui, keselesaan amat pentiing, namun sedar atau tidak dalam keadaan yang tertentu, keselesaan ini perlu dikurangkan demi meraih sesuatu yang janggal secara totalnya, namun mungkin idealnya terkesan ke seluruh pelusuk hati kita.
Menyentuh perihal ini, teringat saya pada pengalaman lepas ketika bersama-sama melanjutkan pengajian di Melbourne, Australia bersama suami tercinta. Ekoran bidang pengkhususan dan Universiti yang berbeza, maka suami yang telah bertapak lebih awal dari saya telah menyewa sebuah rumah yang serba lengkap di sebuah kawasan bernama ‘Churchill’ iaitu berhampiran dengan Monash University, Gippsland Campus. Tindakan itu secara rasionalnya adalah yang terbaik buat beliau pada masa dan ketika itu. Apa tidaknya, dengan jarak yang kurang dari 5 minit dengan menaiki kereta merupakan jarak yang paling ideal untuk beliau. Namun, keadaan berubah apabila saya turut mengikut jejaknya menyambung pengajian di sana. Memandangkan jarak tempat tinggal kami di Churchill, iaitu di daerah Gippsland dengan tempat pengajian saya di LaTrobe University, Bundoora Campus terlalu jauh, maka saya pada mulanya agak cuak untuk mengharungi liku-liku hidup yang sungguh mencabar.
Bayangkanlah, dengan jarak yang sebegitu jauh, mengambil masa lebih kurang 6 jam pergi balik iaitu 3 jam untuk perjalanan pergi dan mungkin tempoh masa menjadi lebih panjang bergantung kepada ketepatan masa mengejar pengangkutan awam. Almaklumlah, di Negara serba moden itu, segalanya berlaku terlalu pantas ibaratnya terlewat seminit,  terpaksa menunggu untuk 30 hingga 45 minit kemudian. Keadaan ini disebabkan kawasan yang didiami kami pada ketika itu sangat jauh dari Melbourne City. Maka perkhidmatan keretapi terpantas di sana hanya akan lemewati Morwell Station setiap 30 minit. Bagi menjelaskan tempoh masa serta jarak yang terpaksa saya lalui itu, maka saya hanya mampu memberi gambaran sebenar secara ringkas dike sempatan ini.  Memulakan pengajian di sana dengan kursus jangka pendek selama 15 minggu tanpa henti bermula jam 11 pagi hingga 5 petang, maka saya perlu mengharungi segala bentuk cabaran meski ianya adalah hari kedua ketibaan saya di Melbourne. Kursus tersebut bemula pada bulan November 2008 dan ianya merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna buat saya memandangkan kursus sebenar dalam bidang Sarjana Pendidikan Dewasa hanya akan bermula pada Februari 2009. Justeru berdasarkan inisiatif sendiri demi memperkukuhkan ilmu di dada serta bertujuan untuk mematangkan diri dengan keadaan persekitaran, maka kursus jangka pendek yang bernilai lebih kurang RM 20,000.00 (tidak termasuk kos lain yang terlibat) sanggup saya daftarkan atas pembiayaan sendiri kerana biasiswa UPM bagi kursus peringkat Sarjana hanya akan bermula pada Februari 2009.
Dipendekkan cerita, seawal jam 5.00 pagi waktu Melbourne, saya telahpun bangun dan menyiapkan diri bagi tujuan perjalanan ke universiti. Perkara asas yang menjadi rutin saya ialah menyediakan sarapan dan lauk- pauk  untuk makan tengahari buat suami dan anak (Puteri Sulong yang ketika itu baru berusia dua tahun 11 bulan).  Selesai segalanya, perjalanan harian saya bermula ditemani suami tercinta ke stesen keretapi Morwell iaitu kira-kira 15 kilometer dari rumah. Ketepatan masa adalah wajib memandangkan satu-satunya keretapi yang merentas sempadan ‘Country Side- Gippsland’ ke Melbourne City ialah jalinan terpantas V-line Train. Perjalanan dari Morwell ke Melbourne city mengambil masa lebih kurang 2 jam. Setibanya di Flinders Street, saya perlu bergegas mendapatkan Tram (jenis pengangkutan berbentuk fizikal seperti bas tetapi menggunakan tenaga elektrik yang dilengkapi dengan sistem landasan khas di atas jalan raya biasa).
Perjalanan tidak habis di situ, di mana saya perlu turun di Lonsdale Street untuk mendapatkan Bas yang secara terus ke LaTrobe University, Bundoora. Ditekankan di sini, segalanya perlu tepat dan lancar. Jika tidak, saya pasti akan terlewat ke kelas. Bayangkanlah, segalanya perlu diharungi sebaik mungkin meski saya baru sahaja berpijak di bumi Melbourne. Kebiasaannya, saya akan selamat tiba di universiti 10 hingga 15 minit awal daripada waktu kuliah dan ini memerlukan saya berjalan sepantas mungkin dari hentian utama universiti ke bilik kuliah. Pendek kata, tiada langsung perasaan untuk bertangguh malahan yang terpacul di minda ialah perasaan untuk hadir ke kuliah tepat pada masanya.Bermula jam 11.00 pagi sehingga jam 5.00 petang, kuliah berlangsung tanpa henti. Apa tidaknya, kursus jangka pendek itu merupakan kursus insentif untuk memantapkan lagi keupayaan dan kemahiran saya dalam bidang penulisan iaitu penulisan ilmiah. Sekali lagi, masa amat mencemburui saya di mana waktu rehat yang diberikan itu digunakan untuk saya menunaikan Hukum Islam yang pertama iaitu Solat 5 waktu. Alhamdulillah, segalanya masih berlangsung seikhlas hati dan syukur juga kerana LaTrobe University, Bundoora sememangnya menyediakan kemudahan bilik solat kepada Pelajar Antarabangsa yang beragama Islam.
Diringkaskan cerita, tamat sahaja kuliah, saya bersama rakan baik saya iaitu Trang (dari Vietnam yang terus rapat bermula pada kali pertama kami bertemu) akan bergegas pulang ke Melbourne City. Masing-masing menghadapi konflik yang sama iaitu jarak yang sangat jauh, malahan terlampau jauh sehinggakan pensyarah saya pada ketika itu Dr. Sudharma Gajendra juga terkejut mendengarkan rintihan kami. Beliau yang pada hari pertama kelihatan mesra sempat menawarkan saya untuk tinggal bersama-sama dengannya memandangkan suaminya bertugas di tempat lain. Namun saya menolak tawarannya secara baik memandangkan saya dan suami bercadang untuk berpindah ke tempat lain yang lebih efektif buat kami berdua sejurus selepas saya menamatkan kursus jangka pendek itu.
Perjalanan pulang hampir sama dengan sebelah paginya. Cuma yang mungkin berbeza sedikit ialah saya tidak lagi terlalu tertekan dengan pengangkutan awam iaitu masih boleh bertenang memandangkan tidak terikat dengan jadual yang khas. Pun begitu, saya masih lagi berusaha memastikan saya dapat mengejar V-line Train ke Morwell Train Station yang paling awal supaya dapat pulang ke rumah seawal mungkin. Paling awal, saya hanya akan selamat tiba di Morwell pada jam 8.30 malam dan tiba di rumah hampir jam 9.00 malam. Bayangkanlah, jikalau anda berada di tempat saya di mana setibanya di rumah, saya menyediakan makan malam buat suami dan si kecil. Namun syukur kerana peranan suami tercinta juga amat besar dengan mengambil inisiatif menjaga si kecil sehingga membawanya bersama ke pejabatnya di Monash University, Gippsland memandangkan beliau juga sedang melanjutkan pengajiannya di peringkat Ijazah Kedoktoran Undang-Undang. Sehingga ke hari ini, saya seakan tidak percaya bahawa saya mampu mengharungi segalanya sebaik mungkin sehingga dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Pelajar terbaik bagi kursus jangka pendek itu. Dalam tempoh masa selama 15 minggu itu, saya mengharungi segalanya tanpa mampu mengatakan ‘tidak’. Nekad saya pada ketika itu, saya seronok melakukannya dan saya yakin saya mampu melakukannya. Seperti ada satu kuasa yang menyuntik semangat saya itu, tidak lain melainkan kepercayaan kepada Yang Maha Esa.
Berdasarkan pengalaman tadi, saya cukup optimis dan akur bahawa ianya telah memberi satu impak yang sangat besar dalam diri saya iaitu dalam membiasakan diri dengan zon yang tidak selesa. Berikut merupakan himpunan bebanan perasaan yang saya alami apabila terpaksa mambiasakan diri dengan zon yang tidak selesa sehingga akhirnya saya sedar bahawa keselesaan itu mampu dicapai dalam sekelip mata apabila setiap ruang kecerdasan mental ini dibuka tanpa batasan.




Gangguan Perasaan pada peringkat awal
  • Takut
  • Tertanya-tanya
  • Risau dan khuatir akan keselamatan diri
  • Bimbang jika sesat
  • Masalah pergaulan
  • Desakan dalaman
  • Konflik diri, rasa asing dan kekok
  • Cemas dan kadangkala tiada perasaan langsung
  • Keterpaksaan


Tindakan yang diambil pada peringkat pertengahan
  • Cabar diri
  • Yakin boleh
  • Memahirkan diri dengan jadual perjalanan seperti tarikh, masa dan stesen-stesen keretapi/ bas/ tram dan juga peta yang berkenaan (Syukur kerana kualiti perkhimatan pengangkutan awam di Melbourne malahan keseluruhan kawasan di Australia sangat lancar. Namun sebagai perantau yang masih baru, kepantasan di sana menuntut saya supaya terlalu berhati-hati serta peka).
  • Memerhati keadaan persekitaran termasuk orang di sekeliling, masyarakat amnya, kemudahan yang ada, nilai-nilai yang terzahir di luar, corak gaya komunikasi, budaya serta kemahiran silang budaya, dan seumpamanya).
  • Memberanikan diri untuk bertanya segala bentuk pertanyaan tentang perkara-perkara berkaitan.
  • Membiasakan diri dengan budaya di sana iaitu murah dengan senyuman serta budi bahasa (meski ada yang mungkin tidak percaya walhal budaya di sana sangat tinggi dan halus).
  • Membiasakan diri dengan keadaan cuaca yang tidak menentu tambahan pula di musim sejuknya yang kebiasaannya mencecah -3 darjah celcius.




KASIHNYA ALLAH

 PADA KITA

"Allah
tak pernah

 janjikan LANGIT

selalu BIRU, JALAN

hidup tanpa BATU,

 MATAHARI tanpa HUJAN, KEBAHAGIAAN

 tanpa KESEDIHAN, KEJAYAAN tanpa

PERJUANGAN...Tapi Allah janjikan KEMUDAHAN bersama

 KESULITAN, RAHMAT dalam UJIAN,

GANJARAN buat KESABARAN,

KETEGUHAN dalam PERJUANGAN..

Bukankah INDAHnya PELANGI baru kita

rasakan setelah turunnya HUJAN...?

MEREKALAH ORANG-ORANG HEBAT ITU! MAKA SAYA JUGA TERSENARAI













MEREKALAH ORANG- ORANG HEBAT ITU! MAKA SAYA JUGA TERSENARAI
Satu perkara yang perlu ditegaskan di sini ialah, kebanyakan individu tersohor di mata dunia adalah mereka yang memakai perisai diri (pertahanan diri- metafora) daripada musuh-musuh kecil tetapi amat berkuasa dalam diri. Setiap daripada mereka (individu tersohor) ini mampu berhadapan dengan halangan dalam diri ataupun juga konflik dalaman semata-mata membentuk satu empayar kehebatan mereka dalam pelbagai aspek kehidupan. Bercakap tentang individu tersohor ini, siapa tidak kenal dengan Oprah Winfrey? Pengacara paling popular di dunia yang mampu menggegarkan dunia hiburan pada setiap kali kemunculannya samaada menerusi program hebat bual bicaranya seperti “The Oprah Winfrey Show”, mahupun kemunculannya di mana-mana program secara langsung atau tidak. Pengalaman peribadi saya sepanjang berada di Melbourne, Australia ialah kemunculan Oprah di bumi Australia, iaitu Melbourne City pada tanggal 10 Disember 2010 (Herald Sun, 2010). Kehadiran beliau menjadi satu fenomena apabila persekitaran Kota Melbourne iaitu di sekitar Flinders Street menjadi sesak, dengan dibanjiri lebih kurang 50 000 orang lautan manusia. Saya yang pada ketika itu agak sibuk dengan urusan pengajian saya, serta juga dalam proses adaptasi diri atas kelahiran anak kedua, terasa terpanggil-panggil untuk turut serta dalam gelombang fenomena itu. Lebih tepat lagi, fenomena itu dipanggil “Oprah-Mania”. Namun hasrat itu terpaksa dibatalkan atas pertimbangan keselamatan dan kesihatan serta izin dari suami tercinta.

Memandangkan hasrat hati terpaksa dibatalkan, maka saya mula bertanya pada diri, ‘di manakah hebatnya Oprah ini?’ Namun apa yang anehnya, itulah dia Oprah Winfrey yang menjadi kegilaan ramai orang, bukan hanya dalam kalangan orang kebanyakan, tetapi juga selebriti dunia yang tersohor turut menggilainya. Jika dilihat dari segi latar belakangnya, tiada apa yang perlu dibanggakan dengan beliau. Merujuk kepada Oprah Winfrey's Official Biography, Oprah Winfrey atau nama penuhnya Oprah Gail Winfrey, lahir pada tanggal 29 Januari, 1954 dalam sebuah keluarga biasa di Kosciusko, Mississippi, Amerika Syarikat. Seorang wanita berkulit hitam yang pada asasnya datang dari kaum minoriti di Amerika Syarikat, berbadan gempal dan tidak menarik dari segi bentuk fizikalnya, namun lantang bersuara dan petah berbicara,  Secara logic dan idealnya, setiap apa yang dimiliki beliau merupakan perkara biasa yang turut dimiliki oleh berjuta lagi orang di dunia ini. Tetapi persoalan itu tidak terhenti di situ sahaja. Bagai ada sesuatu kuasa yang menarik kita padanya.
Seorang lagi tokoh hebat yang menarik perhatian saya ialah Mark Zuckerberg. Mungkin pada mereka yang senantiasa mengikuti kecanggihan internet mulai tersenyum dengan tokoh ini. Atau mungkin juga, berjuta lagi orang di luar sana yang terlepas pandang tentang siapakah pengasas sebenar laman sosial dirinya iaitu muka buku meskipun dewasa ini mereka terlalu asyik dengan ledakan dunia informasi itu. Zamris (2009) menyatakan bahawa kelahiran era baru dalam dunia informasi telah merubah pola komunikasi masyarakat, Hal ini disebabkan oleh penemuan baru di bidang teknologi komunikasi. Justeru, Facebook ataupun Muka Buku ini merupakan salah satu hasil ciptaan dalam perkembangan dunia teknologi hari ini yang ternyata memberi impak yang sangat besar kepada masyarakat dunia jika digunakan sebaik mungkin mengikut norma-norma masyarakat yang luhur.
Menyentuh tentang pengasasnya dan juga CEO of Facebook iaitu Mark Zuckerberg, ternyata daya imaginasi dan kecerdasan mental dan kognitif yang dimilkinya tiada tandingan. Beliau yang dikatakan telah memulakan projek ini bersama dua (2) orang rakan sebiliknya iaitu Dustin Moskovitz dan Chris Hughes, bermula tahun 2004. Zuckerberg dilaporkan telah melanjutkan pengajian di Harvard University dalam bidang Sains Komputer sebelum mengasaskan facebook. Semasa berada di Harvard, Zuckerberg telah mereka cipta satu program dikenali sebagai Facemash, iaitu sebuah laman yang memuatkan foto-foto pelajar di kolejnya dengan membuat perbandingan samaada foto berkenaan dikategorikan sebagai HOT or NOT. Disebabkan laman ciptaannya itu, pihak pentadbiran Harvard ternyata tidak bersetuju dengan tindakannya itu, maka beliau telah dikenakan tindakan disiplin. Dalam tempoh 3 bulan selepas itu, beliau telah merasmikan laman sosial facebook dan akhirnya laman itu diterima pakai sehingga ke hari ini.  Beliau akhirnya telah dinobatkan sebagai penerima anugerah ‘Best Startup CEO’ dan juga berjaya dikategorikan sebagai ‘The Time Magazine 2010 Person of The Year’.
Tokoh seterusnya ialah Dr. Phil McGraw. Beliau mungkin tidak sepopular tokoh yang sebelum ini. Namun secara dasarnya, jika di peringkat global yang lain seperti Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan beberapa tempat yang lain, beliau adalah antara tokoh yang sangat tersohor. Menerusi channel 10, di sekitar Clayton, Victoria, saya sememangnya telah setia di depan Televisyen menantikan program istimewa kendalian Dr. Phill (yang juga nama bagi program tersebut). Apa yang menarik tentang rancangan itu ialah kehebatan pakar terapi keluarga (Dr. Phill) yang dikendalikan secara langsung di kaca TV dan dipertontonkan kepada penonton di studio. Dengan cara gaya kendalian yang bersahaja, professional serta matang, Dr. Phil menemubual klien dan menguruskan konflik kekeluargaan secara langsung. Itulah kehebatannya yang sukar ditandingi dan ternyata penerimaan amalan terapi kaunseling ini diperakukan di Negara-negara Maju. Setiap kes yang dikendalikan menghasilkan impak yang positif menerusi kesediaan klien untuk mengikuti program secara rela. Beliau yang julung kalinya pernah muncul dalam rancangan Oprah Winfrey Show dikenali sebagai human behaviour expert. Menerusi laman web rasminya iaitu ‘Dr. Phil - Official Siteanda berpeluang mengenalinya dengan lebih rapat dan jelas. Tujuan saya memperkenalkan beliau di sini ialah untuk menambahkan koleksi tokoh terkemuka yang anda kenali. Justeru, setiap tokoh yang menemani saya sepanjang pengajian di Melbourne telah saya kongsikan menerusi topik ini untuk perhatian anda semua. 
Selain daripada tiga (3) orang tokoh tersebut, semestinya masih ramai lagi tokoh-tokoh terkemuka yang menjadi sumber inspirasi setiap daripada kita. Paling agung, dan tidak ada bandingnya ialah junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Kegemilangan pemerintahan dan kepimpinan Baginda meninggalkan satu impak yang sangat besar dalam diri setiap yang beragama Islam. Kesimpulannya, dengan mengambil kira tokoh-tokoh terkemuka dunia ini malahan berjuta lagi tokoh yang lain yang tidak disentuh di sini, maka kita perlu sedar dan akur bahawa ada sesuatu yang menyamakan kita dengan mereka ini, iaitu akal. Setiap daripada kita dikurniakan akal, besar atau kecil peranan yang kita mainkan bukanlah isu yang perlu diperdebatkan. Paling utama ialah sejauh manakah kita telah menggunakan akal kurniaan Illahi itu dalam mengatur kehidupan ini. Atas dasar itulah, saya amat optimis untuk menyeru anda semua untuk bangkit daripada segala kebuntuan diri. Kebuntuan mahupun musuh diri yang selama ini telah membuatkan kita mungkin ‘tua sebelum usia’ iaitu bertindak seolah-olah tidak punya kudrat dan daya, berfikir seperti tidak mempunyai harapan yang besar serta berperasaan sebagaimana mereka yang tidak punya harapan.
Secara idealnya, setiap daripada kita mempunyai kehebatan masing-masing dan bakat yang ada perlu dizahirkan agar member manfaat untuk diri dan orang lain. Perlu ditegaskan di sini, kelebihan dan kekurangan diri itu adalah lumrah hidup bagi setiap manusia. Apa yang perlu dilakukan ialah dengan mengimbangi setiap kelebihan dan kekurangan diri itu supaya wujud rasa syukur atas anugerah yang dikurniakan buat kita sebagai manusia. Justeru, tiada lagi rasa ragu-ragu dan rendah diri yang membantutkan lagi usaha murni kita ke arah kejayaan.